Tempat : Musolla Talhah 6
Masa : 6.30 petang hingga 9 malam.
Topik/ Isu : Ukhuwwah
Kehadiran : Ibah, Kak Ira, Ana, Fifah, Rokiah, Kak Sa, Hasna, Sakinah, Wan dan tidak ketinggalan, Al ‘Aina Yuhainis bt Firus Khan.

Indahnya hidup jika tidak keseorangan...Indahnya hidup jika berteman...Indahnya hidup jika saling mengingatkan...Indahnya hidup jika saling memerlukan dan memberi kebaikan.
Alhamdulillah, akhirnya kami berkesempatan juga untuk berkumpul dan berhalaqah buat kali pertama di bumi UIAM Kuantan dengan izin Allah jua.
Oklah, tak perlu muqaddimah panjang-panjang, saya masuk terus kepada isi perbincangan kami. Siraman kasih sayang (perkongsian ilmu atas kasih sayang) bermula sekitar 7.30 malam selepas bacaan ma’thurat berjamaah. Saya memulakan perbincangan dengan membacakan beberapa isi penting yang saya ambil dari artikel ustaz Hasrizal dalam saifulislam.com (agak bosan sebab saya cuma membaca...tak pasti la kawan-kawan faham ke tak..huhu..)
“Usrah bukanlah majlis ilmu, tetapi sebahagian daripada faedah usrah adalah ilmu. Ia juga bukan medan untuk isu-isu semasa, namun mengetahui perkembangan semasa adalah sebahagian daripada pencapaian usrah. Begitu juga dengan ukhuwwah, ia bukan agenda usrah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terhasilnya ukhuwwah. Usrah adalah medan yang mencantumkan ilmu, isu semasa dan ukhuwwah, untuk suatu agenda yang lebih besar iaitu membentuk syakhsiah Muslim. Menghasilkan manusia Muslim.” – Saifulislam.com
“Jika satu program itu dikatakan membentuk ukhuwwah dalam kalangan peserta, sepatutnya ia membawa maksud program ini telah membentuk peserta yang mampu berukhuwwah dengan sesiapa sahaja.” – pembaca Saifulislam.comDalam perhubungan seharian kita, tentu sahaja kita lebih mesra dengan kumpulan sendiri, faktor fikrah yang sama dan masa menjadi punca. Tetapi kemesraan itu sepatutnya mampu berkembang dan mendatangkan keupayaan untuk kita bergaul dan berhubung dengan orang lain. Tiada duo-personaliti: mesra dengan teman, hambar dengan kenalan!
Antara perkara yang saya dapat dalam Kem Mahasiswa Muda (KMM ’09) ialah kepentingan personal touch, pendekatan dakwah yang dipinggirkan. Rasulullah saw dalam berdakwah tidak terhad kepada ceramah, usrah tetapi juga menggunakan personal touch ini di samping akhlaq baginda yang mulia. Hasilnya, ramai sahabat-sahabat yang berpengaruh memeluk Islam dan mengembangkan lagi Islam ke serata dunia.

Maaflah, saya tak pandai pulak nak kupas semula usrah kat sini. Jadi, kita terus kepada resolusi usrah yang saya dapat ya.
RESOLUSI:
1. Jangan menghilangkan diri, mengasingkan diri kerana kita sudah jadi seperti satu keluarga. Bayangkan apabila kita kehilangan seorang adik/kakak, pasti kita akan rasa seperti kekurangan sesuatu.
2. Bila ada kawan-kawan, kita aka nada lebih semangat untuk bergerak. Ibarat lidi yang ‘sebatang’, lemah saja. Tetapi apabila dikumpul-kumpulkan menjadi penyapu lidi, dapatlah ia berfungsi menyapu dengan berkesannya.
3. Banyakkan memberi. What you give, you get back walaupun bukanlah dalam bentuk yang serupa. Biarpun kita tak dapat apa-apa di dunia ini, tetapi pasti ada balasannya di akhirat kelak, dengan syarat semuanya kerana Allah SWT. Berilah sebanyak mana kebaikan yang mampu diberikan biarpun sekadar senyuman. Senyuman itu menceriakan.
4. Kita bersatu atas aqidah yang sama, keimanan kepada Allah. Biar siapa pun dia, berinteraksilah, berkomunikasilah, kembangkanlah ukhuwwah islamiyyah atas dasar keimanan kepada Allah.
5. Perlu ada worldview atau pandangan yang tinggi terhadap usrah. Letakkan kepentingan dan keperluan terhadap usrah. Tanpa pandangan yang tinggi, kita pasti rasa lemah dan malas untuk menghadiri usrah. (Usrah itu ibarat nasi yang banyak lauk, sedap-sedap semua.)
6. Kita perlu muhasabah dan didik hati kita. Didik rasa hamba, buang rasa ego. Kita semua sama sahaja, yang membezakan hanya taqwa. Penilaian taqwa, biarlah Allah saja yang membuatnya.
7. Sebarkan salam dan senyuman kepada sesiapa sahaja (kecuali lelaki...ha jangan nak menggatal ye), biarpun kepada mak cik cleaner. Ingat, tanpa mereka, kita takkan mampu hidup dan belajar dengan selesa. Syukurlah, Allah hadirkan mereka untuk membantu kita.
8. Menyuburkan amalan ziarah-menziarahi.
Ok. Itu sahaja untuk kali ini. Semoga bertemu lagi.
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah saw bersabda: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya. Sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari Kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari Kiamat.”
(HR Bukhari dan Muslim)
Yang membentang dan menaip,
Nurul Afifah bt Jamaludin.
Bacaan Tambahan:
Ukhuwwah Manusia Hamba - Saifulislam.com
Jumaat Menghadiahkan Ukhuwwah - Saifulislam.com
Mencintai Allah dan Kerana Allah
p/s: Minggu hadapan 12 Muharram 1431H/ 29 Disember 2009 di Musolla M2, 6.45pm dengan tajuk ‘Cinta Rasulullah’.
GALERI USRAH







No comments:
Post a Comment