Tarbiyah Dzatiyah oleh Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan


Bismillahirrahmanirrahim

Pernahkah kita terfikir bagaimana sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w mampu tampil hebat dan mempunyai kelebihan tersendiri? Abu bakar r.a yang imannya jika ditimbang lebih berat dari iman seluruh umat manusia ; Umar al-khattab yang dirinya digeruni syaitan laknatullah; Abu Hurairah yang mampu menjadi ilmuwan terkemuka dan ramai lagi. Bagaimana mereka boleh menjadi seseorang yang sangat hebat padahal guru mereka sama, Rasulullah s.a.w dan ajaran juga sama, iaitu Islam.

Pernahkah kita terfikir, kita juga mempunyai guru yang sama, mendapat ajaran yang sama,tapi…

Kenapa terjadi sebegitu? Kenapa dengan teknologi yang semakin hebat, dunia yang semakin maju, tapi diri tidak mampu tampil sehebat figura-figura sebelumnya? Mengapa?

Allah s.w.t telah mengurniakan kepada kita nikmat iman dan Islam dan memilih kita sebagai kaum Muslimin di antara umat manusia di atas muka bumi ini. Alhamdulillah. Tapi, persoalan yang boleh dilontarkan di sini,

Adakah kita bersyukur dan berpuas hati di takuk kita sekarang?

Adakah kita tidak punyai tingkatan dalam hidup ini dari segi ilmu, iman, akhlak dan sebagainya?

Siapakah yang diperintahkan untuk naik ke tingkatan ketiga? Budak kecil? Teman? Orang ramai?

Adakah syurga yang yang mempunyai tingkatan sehingga tujuh tingkat adalah kepunyaan orang lain?

Adakah cukup menunaikan tanggungjawab rukun semata-mata?


Sahabat-sahabat,
Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan dalam bukunya TARBIYAH DZATIYAH berbicara dan menjawab persoalan -persoalan tersebut dengan sangat baik. Beliau mengulas bahawa sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w MAMPU MENTARBIYAH (membina) diri seoptimal mungkin, meningkatkan kualiti diri seideal mungkin dan mampu memperbaiki diri secara konsisten. Mereka tahu apa yang mereka tahu dan tidak tahu. Mereka mencari dan terus menggali apakah perkara dan perbuatan terbaik yang disukai Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dan mereka terus memperbaiki diri.

Mereka menggunakan umur dan masa yang ada untuk membentuk diri sendiri menjadi peribadi Islami yang sempurna dari segala sisi dan naik tinggi ke tingkatan kesempurnaan sebagai manusia.


Maka, apa itu TARBIYAH DZATIYAH?

TARBIYAH DZATIYAH ialah saranan tarbiyah (pembinaan) yang diberikan oleh diri kepada dirinya sendiri untuk membentuk keperibadian Islami seterusnya mencapai kesempurnaan sebagai manusia (insan kamil).

TARBIYAH DZATIYAH berbeza dengan tarbiyah Jama'iyah (kolektif) iaitu tarbiyah yang didapati di forum-forum,ceramah-ceramah ataupun program-program sepertinya. TARBIYAH DZATIYAH ialah tarbiyah dari dalam (inner) diri, kesedaran yang hadir dari lubuk qalbu yang murni.


Ketahuilah sahabat bahawa kelak kita akan dihisab secara individual, hanya diri sendiri yang akan membantu, serta diri bertanggungjawab atas segala perbuatan di atas muka bumi ini.


" Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri" (Surah Maryam:95)


"Setiap orang dari kalian pasti diajak bicara Tuhannya , tanpa penterjemah antara dirinya denganNya." (Muttafaq alaih)


Persoalan,

Mengapa ramai yang tidak peduli tentang TARBIYAH DZATIYAH ?

Mengapa merasakan diri telah cukup tarbiyah?

Mengapa sentiasa menyalahkan jemaah tidak mengadakan program-program tarbiyah?

Mengapa ramai yang menunda saat untuk beribadah?


Realiti sebegini sering melanda kaum Muslimin di seluruh aspek kehidupannya, walhal dirinya sendiri bertanggungjawab sepenuhnya kepada kehidupannya; dari segi awlawiyat dan matlamat.


Antara sebabnya ialah;


Minimumnya ilmu tentang dalil-dalil Al-Quran dan As-sunnah, tentang keutamaan amal soleh dan pahala di sebaliknya, tentang hasil-hasil positif (keuntungan) di akhirat kelak, tentang musuh-musuh
Islam yang sentiasa menunggu peluang untuk merosakkan aqidah dan Islam; tentang betapa ketidakbaikan (jahil) diri sendiri dan ilmu tentang diri Islami yang ideal.


Sibuk dengan dunia. Mungkin ada yang tahu tentang amal soleh dan tujuan hidup, tapi mereka masih gagal untuk mentarbiyah diri lantaran mencurahkan segala waktu, tenaga dan fikiran untuk dunia.


Bergantung pada murabbi. Tidak dinafikan bahawa seseorang memerlukan taujih( mengarahkan), tarbiyah dan pengajaran semenjak kecil hingga meninggal dunia. Mereka mengharapkan pelajaran dan tabiyah itu datangnya dari orang lain seperti ibu bapa, ustaz, teman ataupun naqib. Sedar atau tidak, umur kita semakin meningkat dan kita nyaris akan kehilangan peranan mereka dalam hidup kita. Jika perkara tersebut kita ketahui, maka secara automatik, diri kita sendiri perlu sedar akan kewajipan untuk mentarbiyah diri.


Maka, penulis menggariskan saranan-saranan TARBIYAH DZATIYAH atau pintu-pintu untuk diaplikasi bersama demi memperbaiki diri serta mencapai redhaNya, sesuai dengan kemampuan hambanya. Antaranya:


SARANAN PERTAMA: MUHASABAH

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) (Surah Al-Hasyr: 18)


"Pada hari kiamat, kedua kaki tangan seorang hamba tidak dapat bergerak, hingga ia bertanya tentang empat hal. Tentang umurnya, untuk apa ia gunakan; masa mudanya, untuk apa ia habiskan; tentang hartanga, dari mana ia memperolehnya dan ia belanjakan di hal-hal apa sahaja' dan tentang apa saja di antara ilmunya yang telah ia amalkan"
(diriwayatkan At-tirmizi)


"Orang cerdas (berakal)ialah orang yang menghisab dirinya dan berbuat untuk setelah kematian. Dan, orang lemah ialah orang yang mengikutkan dirinya kepada hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah" (diriwayatkan At-tirmizi)


Apakah skala prioriti dalam muhasabah?

Pertama, tanya pada diri tentang 'kesihatan' AQIDAH; iaitu kebersihan tauhid dari syirik-syirik kecil dan tersembunyi;

Kedua, PELAKSANAAN TERHADAP KEWAJIPAN; iaitu solat lima waktu di awal waktu secara berjemaah, berbakti kepada orang tua, menyambung silaturrahim, amar ma'ruf nahi mungkar

Ketiga, tanya pada diri, sejauh mana kita telah meninggalkan yang haram dan menjauhi kemungkaran-kemungkaran kecil dan besar

Serta, muhasabah diri tentang ibadah-ibadah sunnah yang dilakukan.



SARANAN KEDUA: TAUBAT DARI SEGALA DOSA

Setelah muhasabah tentang dosa dan kelalaian terhadap tanggungjawab, kata ulama, pembersihan diri perlu dilaksanakan sebelum pengisian. Caranya adalah bertaubat dari segala aib, maksiat, ketidaksempurnaan akhlak,pemikiran dan sebagainya.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya"
(At-Tahrim:8)

"Sungguh, aku beristighfar kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari" (diriwayatkan Muslim)

Sungguh, Rasulullah s.a.w, kekasih Allah, yang maksum juga bertaubat setiap hari, apatah lagi kita, hamba Allah taala yang dalam sedar atau tidak, terpalit dosa setiap waktu. Jika seseorang itu merasakan dirinya sudah taat dan istiqamah dalam amalannya, dan merasakan diri tidak perlu kepada bertaubat,berjagalah! Sungguh, dia telah sesat dan jatuh ke dalam kesempurnaan palsu yang dibisikkan oleh syaitan.

Ramai orang keliru tentang hakikat dosa. Mereka merasakan dosa ialah mengerjakan kemungkaran shaja seperti mencuri, ghibah, zina, rasuah dan sebagainya. Mereka tidak sedar bahawa tidak melaksanakan kewajipan atau lalai mengerjakannya juga adalah berdosa. Apakah antara kewajipan seorang Muslim??

-menunaikan Rukun Islam
-melakukan dakwah ke jalan Allah Ta'ala
-amar ma'ruf nahi mungkar
-tidak peduli tentang umat
-dan kewajipan lain...



SARANAN KETIGA: MENCARI ILMU DAN MEMPERLUAS WAWASAN

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab berkata, " Ketahuilah, mencari ilmu itu wajib dan ilmu itu menyembuhkan hati yang sakit. Yang paling penting bagi seseorang ialah ia tahu agamanya. Sebab, mengetahui dan mengamalkannya itu jalan masuk ke syurga"

Ilmu utama yang MESTI dikuasai oleh setiap nadi Muslimin ialah ilmu syar'I bersumber Al-Quran dan As-sunnah dan pemahaman salafussoleh. Ilmu dari sumber ini dapat meningkatkan ketqwaan kepada Allah taala, serta mengetahui tentang hukum-hukumNya. Ilmu lain yang membantu kesempurnaan ilmu utama ialah ilmu-ilmu moden seperti psikologi, sosiologi, kesihatan, dan sebagainya. Carilah ilmu di mana-mana, rajinkan diri, didik nafsu, dedahkan diri kepada stimulus-stimulus intelektual.

Dalam pada mencari, menggali ilmu, niatkan diri supaya ikhlas dan mengharapkan redha Allah semata, jadikan ilmu sebagai pakaian amalan dan menjadi teladan istimewa kepada umat manusia. Lantaran itu, tunaikan hak ilmu dan bayar zakatnya dengan berdakwah di jalan Allah taala.

Sebarkankan hatta satu ayat!!


SARANAN KEEMPAT: MENGERJAKAN AMALAN-AMALAN IMAN

Saranan ini sangat banyak, bervariasi dan memberi impak yang sangat hebat pada tarbiyah diri . Mari kita sama-sama mencadangkannya.

Melaksanakan ibadah wajib seoptimal mungkin; solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, menunaikan hai pada yang mampu.

Memperbanyak ibadah sunat; solat rawatib setiap waktu, solat dhuha setiap hari, qiyamullail walau dua rakaat, berpuasa pada hari mulia, memberi sumbangan pada program Islami

Berzikir- tingkatan zikir; paling rendah, berzikir dengan lidah, kemudian zikir dengan hati dan paling tinggi ialah berzikir dengan hati dan lidah. Berzikirlah pada setiap waktu,kondisi dan tempat (kecuali tempat dilarang)Tingkatkan zikir dari hari ke hari dari segi kuantiti dan kualiti.


SARANAN KELIMA: MEMPERHATI ASPEK AKHLAK

Hadis Rasulullah s.a.w; " Tidak ada satu yang lebih berat di timbangan hamba Mukmin pada hari kiamat selain akhlak yang baik. Dan, Allah benci orang yang berkata jorok dan kotor" (diriwayatkan at-timidzi dan berkata hadis ini hasan sahih)

Ibnu al-Qayyim rahimahullah berkata," Agama itu akhlak. Barangsiapa meningkatkan akhlaknya, bererti dia meningkatkan agamanya".

Bersihkan hati dari akhlak tercela dan tingkatkan kualiti akhlak sesama manusia, dan tingkatkan ketaqwaan kepada Allah ta'ala. Bergaullah dengan orang-orang berakhlak mulia.

Teringat pesan seorang sahabat," Erti hidup pada bertuhan". Ertinya, apabila seseorang itu yakin akan Tuhan dan rasa dirinya sering diperhatikan (ihsan), nescaya akan terpamer akhlak-akhlak yang baik dari dalam dirinya.


SARANAN KEENAM: TERLIBAT DALAM AKTIVITI DAKWAH

Mungkin ada yang tidak menyedari bahawa surah Al-Asr membawa maksud yang sangat besar dalam kehidupan seorang Muslim, jika tidak, hidupnya hanya dalam kerugian.

Pertama, jadi orang beriman; kedua, beramal soleh; ketiga, berpesan dengan kebenaran dan keempat, berpesan dengan kesabaran.

Ketahuilah bahawa jika seseorang mempunyai hanya dua sifat terawal, dia masih di dalam kerugian. Sifat ketiga dan keempat hanya boleh dilaksanakan pabila melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah dan bertemu dengan masyarakat di luar sana.

Orang Muslim perlu mentarbiyah diri untuk melibatkan diri dalam aktiviti dakwah kerana amar ma'ruf nahi mungkar adalah wajib dan tiada alasan dan pilihan selain mengerjakannya. Gunakan setiap ruang dan peluang untuk menunaikan kewajipan ini.


SARANAN KETUJUH: MUJAHADAH (JIHAD)

Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.

Bekal kepada mujahadah adalah sabar,bersungguh-sungguh, bertahap dan terus menerus. Orang Muslim mesti sedaya upaya menguasai diri supaya nafsu dan syaitan tunduk dalam perlawanan ini.
Ada yang bertanya," kalau bermujahadah, siapa yang dapat manfaat?" Sudah tentu diri sendiri akan bersenang lenang dalam kemenangan berupa pahala yang melimpah dan timbangan amal yang banyak.


SARANAN KELAPAN: BERDOA DENGAN JUJUR KEPADA ALLAH S.W.T

Ini adalah saranan yang sangat penting dalam Tarbiyah Dzatiyah iaitu pertolongan dan bimbingan dari pencipta diri; ALLAH s.w.t. Mana mungkin diri akan terus kuat dan bersemangat untuk menolak perkara-perkara yang disukai dan memerlukan iltizam yang tinggi untuk konsisten mentarbiyah diri.

"Doa adalah senjata mukmin"

" Dan Tuhan kalian berfirman, berdoalah kepadaKu, nescaya Aku kabulkan doa kalian" (Surah Ghafir: 60)

"Iman pasti lusuh di hati salah seorang dari kalian, sebagaimana pakaian itu lusuh. Kerana itu, mintalah Allah memperbaharui iman di hati kalian" (Diriwayatkan Ath-thabrani dan sanadnya Hasan)

Berdoa dan terus berdoalah di saat gembira, sedih, terluka, tenang, marah dan dalam apa jua kondisi. Kita hanya insan yang lemah yang sangat-sangat memerlukan pergantungan yang utuh dengan Tuhan.

Moga-moga Allah taala meredhai amalan kita, memberkati masa dan waktu kita, memberi ketenangan, kebahagiaan, kejayaan dalam hidup. In sya Allah.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi s.a.w, ahlul bait dan sahabat baginda s.a.w.

Oleh: Afifah Binti Mat Asin

BILA KITA INGAT MATI?

"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati, dan sungguh di hari kiamatlah disempurnakan pahala kamu..." (Ali Imran,3: 185)

Satu soalan untuk memuhasabah diri:

"Bila kita ingat mati?"

-bila?emm, entah. tak ingat bila...
-bila ziarah orang meninggal...
-bila tengok accident...
-bila ziarah kubur...
-bila dengar tazkirah pasal mati...
-bila baca sesuatu pasal mati...
-bila kita sakit teruk...
-bila dapat mimpi ngeri, mimpi mati...
-bila tengok drama pasal mati...
-setiap saat dan setiap ketika...
-bila menulis blog pasal mati...
-bila kita rasa macam dah nak mati...
atau bila agaknya?

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Banyakkanlah mengingati sesuatu yang menyebabkan hilangnya semua kelazatan (iaitu mati)"

Takut nak mati...

Saya pernah berhadapan dengan perasaan yang sangat takut, takut nak mati. Manakan tidak, dosa bertimbun-timbun, amal sikit sekali (belum tentu amal yang sedikit ini Allah terima.) Satu hari dulu, saya enggan menunggu bas di perhentian kerana perasaan takut dirempuh kenderaan yang lalu-lalang. Saya bayangkan dirempuh lori. Takut mati di situ, saat itu. Perasaan takut ini hadir dalam diri lepas saya mengalami satu mimpi ngeri, ditambah dengan pelbagai cerita kemalangan di muka akhbar. Saya seperti melarikan diri dari mati saat itu. Saya lupa firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, sesungguhnya ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan(serta membalasnya)". (al-Jumuah, 62:8)
Betapapun saya cuba lari darinya, takkan mungkin berjaya kerana MATI ITU PASTI, masa dan tempatnya juga.

Firman Allah lagi,
"...Seseorang tidak mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan seseorang tidak mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenal." (Luqman, 31: 34)
Berita-berita kemalangan di TV dan akhbar buat saya takut untuk keluar ke mana-mana. Takut jadi mangsa jalanraya. Takut mati. Keluarga keluar, saya tinggal di rumah. Kononnya rumah lebih selamat. Saya lupa lagi, MATI ITU PASTI.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Di mana jua kamu berada, nescaya kematian akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), meskipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tertinggi" (An-Nisa, 4:78)

“ …Maka apabila ajal mereka tiba, mereka tidak akan mampu meminta kelewatan walau sesaat, atau mempercepatkannya” (An-Nahl:61)
Allah dah tentukan bila tarikhnya, bila masanya, di mana tempatnya kita akan mati. Kenapa perlu lari?


Hadapi Mati... 
“ Maha Suci ALLAH yang menguasi segala kerajaan, dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang Menciptakan Mati dan Hidup untuk menguji siapa antara kamu yang terbaik amalannya, dan DIAlah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” Surah Al-Mulk ayat 1-2.

Abul-Laits berkata: "Siapa yang yakin akan mati, maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amal yang salih dan meninggalkan amal kejahatan (dosa), sebab ia tidak mengetahui bilakah datangnya mati itu kepadanya. Sedang Nabi SAW telah menerangkan pada umatnya supaya mereka benar-benar bersiap-siap untuk menghadapinya dan supaya mereka sanggup sabar dan tabah menghadapi penderitaan dunia, sebab penderitaan dunia itu termasuk seksa dunia. Sedang seksa dunia ini jauh lebih ringan dibandingkan dengan seksa akhirat, sedang maut termasuk dari seksa akhirat."

Abu Hamid Allafaf berkata: "Siapa yang sering ingat mati, maka dimuliakan dengan tiga macam: Segera bertaubat, terima terhadap rezeki (tidak tamak) dan tangkas beribadah. Sedang orang yang selalu lupa akan mati, terkena akibat tiga macam: Menunda-nunda taubat, tamak dalam rezeki dan malas beribadat."

Nabi SAW bersabda:
"Orang yang sempurna akal ialah yang selalu mengkoreksi dirinya dan beramal untuk bekal sesudah mati. Sedang orang yang bodoh ialah yang selalu menurutkan hawa nafsunya, dan mengharap keampunan Allah (yakni tanpa amal)."

Hingga kini, saya masih takut mati. Memikirkan nasib di SANA setelah terputus segala ruang dan peluang mencari bekal hidup selepas mati. Semoga kita bertemu husnul khatimah atas redha dan kasih sayang Ilahi.

Sumber:
1. Al-Quran dan terjemahan
2. Tanbihul Ghafilin (Abullaits assamarqandi)
3. Liku-liku Perjalanan ke alam barzakh (Drs.Syahrin Nasution)
4. Hidup Sesudah Mati (Bey Ariffin)
Sama-samalah mengingati mati.

(p/s: sahabat-sahabat digalakkan membaca buku-buku di atas dan buku-buku serta bahan bacaan lain dan mengikuti majlis-majlis ilmu untuk mendapat pengetahuan yang lebih tentang perihal MATI. Semoga takut kita bertambah dengannya dan menggerakkan hati untuk beramal dengan lebih giat menghadapi MATI YANG PASTI.)

.::. Terlalu Letih Untuk Mati - Saifulislam.com
.::. Khutbah Jumaat: Takut Yang Sudah Tercabut Itu - Saifulislam.com
.::. Mati kan senang - Peminggir Kota 
.::. Sejenak Perihal Mati - Carefulness 
.::. Dan dia benar-benar pergi - Langit Ilahi
.::. Kalaulah Yang Mati Itu Kita - Langit Ilahi
.::.Bilakah Giliran aku? - Cahaya Bisikan Rahsia
.::.Ia Makin Dekat - Strive 4 Mardhatillah
.::. Hidup Sementara, mati tiba-tiba - Mohd Hafizullah Yatim
.::.Mati itu Pasti - Layaran Bahtera Kehidupan

-mengharap redha dan kasih sayang ILAHI.
nota buat diri, 11 Mei 2009, 1.37am.

Emosi- anugerah indah

    Bismillahirrahmanirrahim
    "Bila kita kenal diri, maka kita kenal Pencipta"
    Kenapa??
    Kerana kita dariNya. Mengikut psikologi Islam, manusia terdiri dari empat unsur; akal, hati/nafsu,jasad dan roh. Antara empat unsur ini,
    Siapakah raja? - Roh.
    Tentera? - Nafsu
    Bendahara? - Jasad
    Perdana menteri? - Akal
    Raja memberi arahan, tentera mengikut arahan, perdana menteri pula menasihati. Jika tentera memberontak atau melakukan suatu perkara yang tidak selari dengan arahan,maka raja bertugas untuk terus berhubung dengan raja segala raja. Siapakah dia? Pastinya Allah Taala. Perhubungan secara langsung ini sebenarnya adalah satu nikmat yang tidak terhingga kepada manusia bergelar Muslim. Apabila seorang manusia itu berakhlak mulia, maka Allah mengatakan,"Aku sayang akan si fulan". Lalu, malaikat mendengar perkara tersebut dan berkata-kata antara satu sama lain, kemudian menyampaikan nya kepada alam-daun, pokok, haiwan dan sebagainya. Akhirnya, jika raja segala raja menyayangi si fulan, apakan tidak alam. Maka, seluruh alam menyayanginya. Oh indahnya.
    Psikologi Barat pula mengatakan, manusia terdiri dari dua unsur; jasad dan roh. Tapi mereka tidak mempercayai akan perhubungan secara langsung antara roh dan tuhan. Mereka percaya dunia ini adalah setakat ini sahaja tanpa adanya akhirat, maka mereka berusaha habis-habisan di atas dunia ini tanpa sekatan. Perikemanusiaan hilang, diktator menguasai.
    Setelah kita mengenali diri, maka, saya ingin berkongsi tentang dapatan dalam usrah semalam. Emosi manusia ada positif dan negatif. Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik  dalam mengawal emosi yang dianugerahkan Allah Taala ini.
    MARAH - Emosi negatif. Keadaan marah yang paling bagus dan terpuji ialah lambat marah dan lekas hilang. Jika kita marah, seeloknya kita menukar posisi badan, contohnya dari berdiri kepada duduk, duduk kepada baring. Selain itu, jika marah sudah tahap berapi, maka ambillah wudhu' untuk memadamkannya.
    Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
    (Riwayat al-Bukhari)
    Sabda Nabi pada hadis yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam”. Cuba kita lihat bagaimana jika seseorang dalam keadaan marah. Kedua-dua matanya merah dan urat lehernya akan kelihatan timbul. Rasulullah pernah menerangkan: “Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila marah oleh seseorang kamu maka hendaklah ia berwudhuk”.
    Abu Dzar al-Ghifari berkata: Rasulullah pernah berkata kepada kami: ”Apabila marah seorang kamu yang sedang berdiri maka hendaklah ia duduk supaya hilang kemarahannya. Kalau masih belum juga hilang maka hendaklah ia berbaring”.
    Wallahu A’lam
    (sumber Hadith 40 , Mustafa Abdul Rahman)
    SEDIH - Rasulullah s.a.w mengalami tahun kesedihan apabila bapa saudaranya meninggal (Abi Talib) diikuti dengan isteri tercinta (Siti Khadijah). Untuk menghiburkan hati yang lara, Allah s.w.t menghiburkannya dengan menjemput Rasulullah bertemu dengannya di Sidratul Muntaha pada malam Isra' dan Mikraj. Lalu, baginda menerima hadiah yang sangat hebat dan dinikmati oleh seluruh  umat manusia iaitu, solat. Solat adalah tiang agama dan solat adalah penghibur hati.
    PENAT - Diceritakan pada suatu hari, Fatimah, anak kesayangan Rasulullah s.a.w mengadu kepadanya tentang kerja-kerja rumah yang sangat memenatkan dan dia meminta seorang khadam. Lalu Rasulullah  s.a.w menghadiahkannya zikir Fatimah - Subhanallah (33x), Alhamdulillah(33x), Allahu Akbar(33x). [rujuk sahih bukhari]
    Lagi, dalam konteks kita, gerakan aktivis, program datang tanpa henti, sehinggakan sampai satu masa kita rasa sangat penat. Muhasabah semula diri, apa sebab kita melakukan semua itu? Adakah kita berlebih-lebihan? Diriwayatkan daripada Aisyah r.a :” Ketika saya sedang duduk dengan seorang perempuan, datang rasulullah SAW dan bertanya kepada ku :”Siapa dia?” Aku menjawab :” Si fulanah” dan aku ceritakan kepada nabi SAW bahawa dia beribadah dengan berlebihan. Nabi SAW bersabda dengan memperlihatkan tanda tidak bersetujunya. “Perbuatan baik yang dilakukan secara berlebihan tidak akan membuat Allah letih (untuk memberi pahala) namun engkaulah yang akan letih dan ad-din (perbuatan baik-ibadah yang paling dicintai Allah SWT) adalah yang dikerjakan secara tetap.” (al-Bukhari)
    Maka, bersederhanalah kita. Bagaimana? Pembahagian tugas dalam gerakan, tanya khabar kawan, bantu mereka.(sekadar menulis beberapa perkara).
    TIDAK MENYUKAI SESUATU - Apabila Rasulullah tidak menyukai suatu makanan, Baginda diam. Baginda tidak mencela atau menghina. Kita juga harus begitu. Jika makan terlebih masin atau terkurang gula, diamkan sahaja kerana jika kita mengungkit, kemungkinan kita mengaibkan orang yang bersusah payah menyiapkan makanan untuk kita.
    Ingatlah, emosi itu indah. Wanita selalu dikaitkan dengan 'keindahan' itu.
    "eii, perempuan ni emo r"
    "sikit-sikit merajuk, sikit-sikit marah"
    " orang cakap sikit, dia nak lebih-lebih pula"
    " terima kasih, sebab awak faham apa saya rasa"
    "terima kasih, apa yang awak cakap menyentuh hati saya"
    Oleh itu, wahai sebaik-baik perhiasan dunia, gunakanlah emosi dengan sebaiknya untuk mengimarahkan dunia. :)
    Lagi perkongsian, jika kita memasuki suatu program atau majlis, amalkan doa ini, moga-moga kita saling menyayangi.
    "ya Allah, kurniakan kecintaanku kepada orang-orang yang beriman dan kurniakan kecintaan orang-orang beriman kepadaku.amiin."
    Lagi perkongsian, bagaimana kita ingin menjadikan dunia ini gembira dan bahagia?
    Lemparkan senyuman :) dan sampaikanlah salam (assalamualaikum).
    Sebelum menutup tirai, sila jawab soalan di bawah.
  1.  Burung apa? Murai.(lakukannya bersama kawan sebanyak 10 kali)
  2. (jika anda tinggikan suara, maka..:))
  3. Lihat pelangi, apa rasa?
  4. Lihat sampah, apa rasa?
    Lihat muka mak abah, apa rasa?
    (jika anda dapat rasa sesuatu, maka, TAHNIAH! Anda seorang manusia.:)
    Wallahua'alam.
    Sumber: perkongsian dari usrah perindu (28/10/2011)

Ada apa pada nama?


“Sarimah, tolong ambilkan benda empat segi yang ada banyak benda tulis-tulis di dalamnya tu yang di atas benda empat segi warna kelabu di tepi benda empat segi yang orang boleh buka untuk keluar masuk tu,” si ibu meminta tolong dari anaknya yang sedang baring di atas benda empat segi yang empuk yang orang biasa gunakan untuk tidur.

Sarimah yang kurang mengerti bertanya, “Apa yang ibu cakap ni? Tak fahamlah bu,”

“Opss..maaf, sekadar gurauan di malam hari. Hehe. Baik, ibu translate ye sayang. Sarimah, tolong ambilkan buku yang di atas meja kelabu di tepi pintu tu,” si ibu menamatkan gurauan di malam hari.

Lihat, benda pun penting punya nama; untuk memudahkan kerja, menjimat masa dan tenaga manusia. Nama, biarpun semudah sebutan na-ma, ia bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah oleh para ibu bapa. Nama yang bakal diberikan kepada anak-anak akan digunapakai dan tercatat di sijil kelahiran, kad pengenalan, kad laporan kesihatan, sijil memandu, buku bank, malah juga di sijil kematian, dan di akhirat kelak. Malah, nama yang baik juga penting sebagai satu langkah menjaga kehormatan anak tersayang.

“Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa kamu. Maka, perbaikilah nama-nama kamu.” (Sunan Abi Daud)

Entri ini sebetulnya bukanlah mahu membicarakan soal pemilihan nama anak-anak, kerana perkara itu mungkin masih jauh bagi kita yang majoritinya masih ‘bujang senang’. Sebaliknya, entri ini sekadar mahu berkongsi rasa dan membawa kita sama-sama lebih menghayati dan menghargai nama yang kita miliki. Namun, janganlah pula diabaikan persediaan ke arah pembinaan baitul muslim kerana pendidikan anak-anak bermula dari pendidikan diri kita sendiri.

Sejarah nama

Pernahkah kita bertanya kepada ibu bapa kita kenapa kita dinamakan dengan nama yang sedia ada kini? Apa sebabnya? Saya yakin, pasti ada doa dan harapan yang ibu bapa selitkan pada nama kita. Bertanyalah, dengarkan harapan itu terus dari lisan ayahanda dan bonda tercinta.

Apakah tujuan nama? Ibn Qayyim menyatakan bahawa, “sesungguhnya penamaan itu bertujuan untuk mengenali sesuatu dengan namanya. Ini kerana jika sesuatu itu tidak diketahui namanya, maka tidaklah dapat dikenal pasti identitinya.”

Nama memberi identiti. Dengan nama kita boleh membeza antara buku latihan dengan buku teks. Dengan nama juga kita boleh membezakan antara Syafuad dengan Sahal. Jika namanya sama, contoh, kedua-duanya Sharifah, maka unsur pembeza kedua iaitu sifat mengambil tempat.

Kini Peranan Kita

Kita bertuah. Nama kita tergolong dalam nama-nama yang baik. Bukan nama yang jelek, buruk, dan memalukan. Allah SWT sudah cantikkan nama kita, cantikkan juga kejadian rupa kita; tiada cacat cela, sempurna semuanya. Ada tangan, ada kaki, ada hidung, ada kening, ada bulu mata, ada gigi, ada lidah, ada kuku,.... lengkap!

“Ya Allah, sebagaimana Engkau telah mengelokkan kejadianku, maka elokkanlah akhlakku”

Kita bertuah. Kita punya ibu bapa penyayang dan memahami, yang memilih nama yang baik untuk anak-anaknya. Nama yang bukan sekadar untuk sedap didengar, bukan juga sekadar mudah dipanggil tetapi juga nama yang terkandung padanya makna yang baik, menjadi ‘doa’ buat kita hingga ke akhir usia.

Orang yang memiliki nama yang baik, kadang-kadang malu jika mengerjakan suatu keburukan. Dia berusaha agar dapat mengerjakan kebaikan sesuai dengan namanya. Ibn Qayyim menyebut, “Jarang kau dapati nama yang buruk kecuali melekat pada orang yang buruk pula. Dan Allah dengan hikmah yang terkandung dalam qadha dan qadarnya memberikan ilham kepada jiwa untuk menetapkan nama sesuai yang punya.”

Ibu bapa telah memilih nama yang baik untuk kita, kini masa kita berperanan untuk menjadi baik (dan lebih baik dari hari ke hari) sesuai dengan nama kita yang baik. Beri identiti yang baik pada nama kita juga. Nama kita baik, tetapi tidak sama sekali yang terbaik.

Nama-nama Terbaik

Nama-nama terbaik adalah hak mutlak Yang Maha Terbaik. 99 nama yang terbaik ini menunjukkan sifat-sifat Allah. Setiap satu nama ini mengandungi makna yang sangat mendalam. Memahami dan menghayati nama-nama Allah ini sangat penting dalam usaha kita untuk meningkatkan iman. Dengan benar-benar memahami dan menghayati nama ini; dengan sepenuh keyakinan yang telah menyerap ke jiwa, seseorang mukmin mampu mencapai tingkatan ihsan dalam beribadah kepada Allah.

Sahabat, lihat, renung, dan fikirkan; bagaimana dalam hari ini sahaja Allah telah ‘taburkan’ sifat Ar-Rahman dan Ar- Rahim-Nya pada kita? Sifat as-Salam, al-Muhaimin-Nya memelihara kita dari pelbagai bahaya. Anggota badan kita masih sempurna. Iman kita dijaga (biarpun turun naiknya selalu melanda).

Ya Allah, jadikanlah kami hamba yang bersyukur Ya Allah...Benarkan kami memandang besar nikmat-Mu yang dipandang kecil manusia lain...Benarkan kami berada di siratul mustaqim.. Ya Allah, pimpinlah kami...

Berkata Ibnul Qayyim, “Maka tidak diragukan lagi bahawa berilmu tentang nama dan sifat-sifat Allah serta perbuatan-Nya adalah seagung-agung ilmu dan semulia-mulianya ilmu. Perbandingannya dengan ilmu-ilmu lain sebagaimana perbandingan antara Allah itu sendiri dengan yang lain-Nya”

Mari, kita hafal, belajar, faham, dan hayati nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya dalam kehidupan.

Istimewa doaku buat kalian, teman GEN5….

Che Farhana, semoga dirimu sentiasa riang gembira dan senang.

Zahirah, semoga dirimu sentiasa menzahirkan kebenaran.

Sakinah, semoga dirimu sentiasa tenang dan menenangkan.

Aina, semoga matamu; zahir dan batin sentiasa memandang pada kecantikan.

Afifah, semoga sentiasa dirimu dalam kebaikan.

Aimee, semoga sentiasa dirimu dalam keberkatan.

Kamilatunnisa’, semoga sentiasa kamu menjadi wanita yang sempurna.

Arif Alwan, semoga sentiasa serba-serbi tahu (dan memberitahu).

Dan buat sahabat-sahabat yang lain, semoga nama kalian yang baik menjadi doa buat kalian.

Dengan ‘kuasa nama’ yang ada pada kita ini, mari kita suburkan cita-cita Islam gemilang, cemerlang dan terbilang.

Nurul Afifah binti Jamaludin, Jalan Banjar, 9 Ogos 2011.

Rujukan:

  1. http://www.al-adib.net/archives/532
  2. http://www.ilmoe.com/578/memberi-nama-baik-contoh-mengajarkan-agama-seri-kajian-pendidikan-anak.html
  3. http://dzikra.com/mamahami-tauhid/

CEBISAN KENANGAN

Ya Allah, aku tidak dapat melepaskan dia
Ya Allah, aku sangat menyayanginya keranaMU kerana
Dia sentiasa bersamaku mengharungi onak duri perjuangan di jalanMu
Ya Allah, aku merinduinya, kenangan bersamanya
Ya Allah, bagaimana untuk aku menerima hakikat ini?
Walaupun dia,aku tidak tahu apa perasaannya, tapi hatiku bagaikan tali untuk mengikat dia kembali
Ya Allah,
aku terkilan
Aku sedih
Aku resah
Setelah beberapa lama dia meluahkan rasa hati
Setelah beberapa lama dia tidak berada disampingku

YA Allah, bantulah hambaMu ini
Untuk menerima hakikat dia sudah tidak bersamaku di jalan yang pernah kami lalui dahulu
Untuk menerima kenyataan dan kebenaran untuk dirinya
Untuk menerima dia tidak bersamaku
Untuk menerima dia telah jauh

Ya Allah,sesungguhnya aku sangat menyayanginya keranaMU
Walaupun begini,
Aku tahu Engkau tahu yang terbaik untuk aku & dia
Ya Allah,
Temukanlah kami di pintu syurgaMU
Temukanlah kami
Temukanlah kami..

Amiiinn ya Raab.

~perkongsian rasa hati~

p/s: sahabat-sahabat, saya sangat menyayangi kalian..sangat-sangat..Ukhwah yang kita bina bersama dalam medan ini tidak akan putus selagi ianya kerana ALLAH S.W.T.


Ukhwah yang terbina persis sekuntum bunga
meski pun kini kita terpisah demi kasih-Nya
namun cebisan kenangan kita
sentiasa bermain di bayangan mata
detik waktu yg berlalu
menjadi memori kau dan aku
sewaktu kita bersama saling setia menimba ilmu
tanpa mengeal erti penat jemu
igatkah kau lagi
kita bersama memijak onak duri
ditanah gersang mengutip semangat suci
kini segalanya tersurat dalam sanubari
bersabarlah dengan ketetentuan-Nya
ada rahmat yg tersembunyi
bertemu berpisah kerana Allah
lumrah kehidupan insan beriman
moga saat nan indah
ku harap berulang lagi

~amar~

afifah mat asin



Halaqah Generasi 5 : Belajar Daripada Alam


Kehadiran
: Aimee, Afifah Mat Asin, Sakinah, Al 'Aina, Kak Siti, Afifah Jamaludin, Ashima.

Assalamua'laikum wbt.

Setiap alam itu bawa makna, kerana tiada satu pun perkara di dunia ini yang dijadikan sia-sia. Semuanya untuk dimanfaatkan manusia, sama ada untuk diguna secara terus atau diambil pengajaran dari sifatnya atau.... atau apa sahaja yang dikatakan manfaat/kebaikan.

Apa yang dapat dipelajari dari angsa?

Cuba lihat angsa...Boleh dimakan (kan?). Siapa mahu makan, silakan. Tapi bagaimana dengan orang yang tak makan angsa? Adakah angsa itu tidak bawa kebaikan/manfaat kepadanya? TIDAK....., ada manfaatnya tetapi hanya bagi mereka yang mahu berfikir, memahami dan melakukan. Alhamdulillah. Berhasil menjumpai satu video yang memberitahu tentang apa yang boleh kita pelajari dari angsa. Lihat dan tafsirkan sendiri apa yang kamu boleh pelajari dari angsa.




Alam lain lebih mulia ?

Alam lain mungkin lebih mulia dari kita kerana tidak pernah mengingkari perintah Tuhan. Tatkala kita lupakan Tuhan, sedangkan kita telah dijadikan makhluk terbaik, alam lain lebih mulia dari kita. Walaupun tidak diberi pilihan untuk menjadi yang makhluk terbaik, alam lain redha dan terus patuh malah bertasbih memuji Allah. Manusia? Banyak yang perlu kita manusia belajar dari sifat patuh dan redha makhluk Allah yang lain.

"Apa yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Perkasa, Mahabijaksana." (al-Hasyr,59:1).

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh, Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (al-Isra', 17:44)

Cinta pun bertasbih tau.

Alam bukan guru kita.

Alam bukan guru kita. Alam adalah bahan yang Maha Guru kita, Allah gunakan untuk mendidik kita. Alam seumpama satu tayangan video untuk memberitahu kita, tentang DIA dan tentang kehidupan. Alam ialah bahan yang membawa kita lebih mengenal-Nya, yang mencipta dan mengatur perjalanan kehidupan alam semesta.

Allah berkomunikasi dengan kita SETIAP MASA melalui alam-Nya. Tapi kadang-kadang kita terlepas pandang kerana tidak memikirkan. Kita sangka ia hanya untuk sedap mata memandang, tetapi sebenarnya ia lebih dari itu. Allah 'bercakap' dengan kita! Dan kita, sering membiarkan Allah 'bercakap sendirian'.

Allah mengajar kita nilai kerajinan dan kesungguhan dari semut yang selalu dimarahi kerana 'berkongsi' makanan manis dengan kita. Allah mengajar kita tentang kesetiaan melalui anjing yang selalu dipandang kotor dan dihina. Allah mengajar tentang kasih sayang melalui buaya yang ganas (juga melalui kucing bak cerita Al 'Aina).

Cuba lihat alam. Di mana lagi Allah selitkan nilai kerajinan, kesungguhan, kesetiaan, dan kasih sayang? Lihat dan fikirkan lagi, di mana Allah titipkan nilai kesopanan, kesederhanaan, kepatuhan, kejujuran, kebijaksanaan, keyakinan dan lain-lain.

Alam, Allah jadikan untuk kita. Manfaatkannya, jangan sia-siakan apatah lagi memusnahkan. Jagalah alam untuk kepentingan semua.

Cukuplah setakat ini. Terima kasih semua atas perkongsian bermakna.

Kita alam juga,
Nurul Afifah Jamaludin.

TEKA-TEKI: Alam apa yang paling 'friendly'?