Tarbiyah Dzatiyah oleh Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan


Bismillahirrahmanirrahim

Pernahkah kita terfikir bagaimana sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w mampu tampil hebat dan mempunyai kelebihan tersendiri? Abu bakar r.a yang imannya jika ditimbang lebih berat dari iman seluruh umat manusia ; Umar al-khattab yang dirinya digeruni syaitan laknatullah; Abu Hurairah yang mampu menjadi ilmuwan terkemuka dan ramai lagi. Bagaimana mereka boleh menjadi seseorang yang sangat hebat padahal guru mereka sama, Rasulullah s.a.w dan ajaran juga sama, iaitu Islam.

Pernahkah kita terfikir, kita juga mempunyai guru yang sama, mendapat ajaran yang sama,tapi…

Kenapa terjadi sebegitu? Kenapa dengan teknologi yang semakin hebat, dunia yang semakin maju, tapi diri tidak mampu tampil sehebat figura-figura sebelumnya? Mengapa?

Allah s.w.t telah mengurniakan kepada kita nikmat iman dan Islam dan memilih kita sebagai kaum Muslimin di antara umat manusia di atas muka bumi ini. Alhamdulillah. Tapi, persoalan yang boleh dilontarkan di sini,

Adakah kita bersyukur dan berpuas hati di takuk kita sekarang?

Adakah kita tidak punyai tingkatan dalam hidup ini dari segi ilmu, iman, akhlak dan sebagainya?

Siapakah yang diperintahkan untuk naik ke tingkatan ketiga? Budak kecil? Teman? Orang ramai?

Adakah syurga yang yang mempunyai tingkatan sehingga tujuh tingkat adalah kepunyaan orang lain?

Adakah cukup menunaikan tanggungjawab rukun semata-mata?


Sahabat-sahabat,
Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan dalam bukunya TARBIYAH DZATIYAH berbicara dan menjawab persoalan -persoalan tersebut dengan sangat baik. Beliau mengulas bahawa sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w MAMPU MENTARBIYAH (membina) diri seoptimal mungkin, meningkatkan kualiti diri seideal mungkin dan mampu memperbaiki diri secara konsisten. Mereka tahu apa yang mereka tahu dan tidak tahu. Mereka mencari dan terus menggali apakah perkara dan perbuatan terbaik yang disukai Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dan mereka terus memperbaiki diri.

Mereka menggunakan umur dan masa yang ada untuk membentuk diri sendiri menjadi peribadi Islami yang sempurna dari segala sisi dan naik tinggi ke tingkatan kesempurnaan sebagai manusia.


Maka, apa itu TARBIYAH DZATIYAH?

TARBIYAH DZATIYAH ialah saranan tarbiyah (pembinaan) yang diberikan oleh diri kepada dirinya sendiri untuk membentuk keperibadian Islami seterusnya mencapai kesempurnaan sebagai manusia (insan kamil).

TARBIYAH DZATIYAH berbeza dengan tarbiyah Jama'iyah (kolektif) iaitu tarbiyah yang didapati di forum-forum,ceramah-ceramah ataupun program-program sepertinya. TARBIYAH DZATIYAH ialah tarbiyah dari dalam (inner) diri, kesedaran yang hadir dari lubuk qalbu yang murni.


Ketahuilah sahabat bahawa kelak kita akan dihisab secara individual, hanya diri sendiri yang akan membantu, serta diri bertanggungjawab atas segala perbuatan di atas muka bumi ini.


" Dan setiap mereka datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri" (Surah Maryam:95)


"Setiap orang dari kalian pasti diajak bicara Tuhannya , tanpa penterjemah antara dirinya denganNya." (Muttafaq alaih)


Persoalan,

Mengapa ramai yang tidak peduli tentang TARBIYAH DZATIYAH ?

Mengapa merasakan diri telah cukup tarbiyah?

Mengapa sentiasa menyalahkan jemaah tidak mengadakan program-program tarbiyah?

Mengapa ramai yang menunda saat untuk beribadah?


Realiti sebegini sering melanda kaum Muslimin di seluruh aspek kehidupannya, walhal dirinya sendiri bertanggungjawab sepenuhnya kepada kehidupannya; dari segi awlawiyat dan matlamat.


Antara sebabnya ialah;


Minimumnya ilmu tentang dalil-dalil Al-Quran dan As-sunnah, tentang keutamaan amal soleh dan pahala di sebaliknya, tentang hasil-hasil positif (keuntungan) di akhirat kelak, tentang musuh-musuh
Islam yang sentiasa menunggu peluang untuk merosakkan aqidah dan Islam; tentang betapa ketidakbaikan (jahil) diri sendiri dan ilmu tentang diri Islami yang ideal.


Sibuk dengan dunia. Mungkin ada yang tahu tentang amal soleh dan tujuan hidup, tapi mereka masih gagal untuk mentarbiyah diri lantaran mencurahkan segala waktu, tenaga dan fikiran untuk dunia.


Bergantung pada murabbi. Tidak dinafikan bahawa seseorang memerlukan taujih( mengarahkan), tarbiyah dan pengajaran semenjak kecil hingga meninggal dunia. Mereka mengharapkan pelajaran dan tabiyah itu datangnya dari orang lain seperti ibu bapa, ustaz, teman ataupun naqib. Sedar atau tidak, umur kita semakin meningkat dan kita nyaris akan kehilangan peranan mereka dalam hidup kita. Jika perkara tersebut kita ketahui, maka secara automatik, diri kita sendiri perlu sedar akan kewajipan untuk mentarbiyah diri.


Maka, penulis menggariskan saranan-saranan TARBIYAH DZATIYAH atau pintu-pintu untuk diaplikasi bersama demi memperbaiki diri serta mencapai redhaNya, sesuai dengan kemampuan hambanya. Antaranya:


SARANAN PERTAMA: MUHASABAH

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) (Surah Al-Hasyr: 18)


"Pada hari kiamat, kedua kaki tangan seorang hamba tidak dapat bergerak, hingga ia bertanya tentang empat hal. Tentang umurnya, untuk apa ia gunakan; masa mudanya, untuk apa ia habiskan; tentang hartanga, dari mana ia memperolehnya dan ia belanjakan di hal-hal apa sahaja' dan tentang apa saja di antara ilmunya yang telah ia amalkan"
(diriwayatkan At-tirmizi)


"Orang cerdas (berakal)ialah orang yang menghisab dirinya dan berbuat untuk setelah kematian. Dan, orang lemah ialah orang yang mengikutkan dirinya kepada hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah" (diriwayatkan At-tirmizi)


Apakah skala prioriti dalam muhasabah?

Pertama, tanya pada diri tentang 'kesihatan' AQIDAH; iaitu kebersihan tauhid dari syirik-syirik kecil dan tersembunyi;

Kedua, PELAKSANAAN TERHADAP KEWAJIPAN; iaitu solat lima waktu di awal waktu secara berjemaah, berbakti kepada orang tua, menyambung silaturrahim, amar ma'ruf nahi mungkar

Ketiga, tanya pada diri, sejauh mana kita telah meninggalkan yang haram dan menjauhi kemungkaran-kemungkaran kecil dan besar

Serta, muhasabah diri tentang ibadah-ibadah sunnah yang dilakukan.



SARANAN KEDUA: TAUBAT DARI SEGALA DOSA

Setelah muhasabah tentang dosa dan kelalaian terhadap tanggungjawab, kata ulama, pembersihan diri perlu dilaksanakan sebelum pengisian. Caranya adalah bertaubat dari segala aib, maksiat, ketidaksempurnaan akhlak,pemikiran dan sebagainya.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya"
(At-Tahrim:8)

"Sungguh, aku beristighfar kepada Allah sebanyak seratus kali dalam sehari" (diriwayatkan Muslim)

Sungguh, Rasulullah s.a.w, kekasih Allah, yang maksum juga bertaubat setiap hari, apatah lagi kita, hamba Allah taala yang dalam sedar atau tidak, terpalit dosa setiap waktu. Jika seseorang itu merasakan dirinya sudah taat dan istiqamah dalam amalannya, dan merasakan diri tidak perlu kepada bertaubat,berjagalah! Sungguh, dia telah sesat dan jatuh ke dalam kesempurnaan palsu yang dibisikkan oleh syaitan.

Ramai orang keliru tentang hakikat dosa. Mereka merasakan dosa ialah mengerjakan kemungkaran shaja seperti mencuri, ghibah, zina, rasuah dan sebagainya. Mereka tidak sedar bahawa tidak melaksanakan kewajipan atau lalai mengerjakannya juga adalah berdosa. Apakah antara kewajipan seorang Muslim??

-menunaikan Rukun Islam
-melakukan dakwah ke jalan Allah Ta'ala
-amar ma'ruf nahi mungkar
-tidak peduli tentang umat
-dan kewajipan lain...



SARANAN KETIGA: MENCARI ILMU DAN MEMPERLUAS WAWASAN

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab berkata, " Ketahuilah, mencari ilmu itu wajib dan ilmu itu menyembuhkan hati yang sakit. Yang paling penting bagi seseorang ialah ia tahu agamanya. Sebab, mengetahui dan mengamalkannya itu jalan masuk ke syurga"

Ilmu utama yang MESTI dikuasai oleh setiap nadi Muslimin ialah ilmu syar'I bersumber Al-Quran dan As-sunnah dan pemahaman salafussoleh. Ilmu dari sumber ini dapat meningkatkan ketqwaan kepada Allah taala, serta mengetahui tentang hukum-hukumNya. Ilmu lain yang membantu kesempurnaan ilmu utama ialah ilmu-ilmu moden seperti psikologi, sosiologi, kesihatan, dan sebagainya. Carilah ilmu di mana-mana, rajinkan diri, didik nafsu, dedahkan diri kepada stimulus-stimulus intelektual.

Dalam pada mencari, menggali ilmu, niatkan diri supaya ikhlas dan mengharapkan redha Allah semata, jadikan ilmu sebagai pakaian amalan dan menjadi teladan istimewa kepada umat manusia. Lantaran itu, tunaikan hak ilmu dan bayar zakatnya dengan berdakwah di jalan Allah taala.

Sebarkankan hatta satu ayat!!


SARANAN KEEMPAT: MENGERJAKAN AMALAN-AMALAN IMAN

Saranan ini sangat banyak, bervariasi dan memberi impak yang sangat hebat pada tarbiyah diri . Mari kita sama-sama mencadangkannya.

Melaksanakan ibadah wajib seoptimal mungkin; solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, menunaikan hai pada yang mampu.

Memperbanyak ibadah sunat; solat rawatib setiap waktu, solat dhuha setiap hari, qiyamullail walau dua rakaat, berpuasa pada hari mulia, memberi sumbangan pada program Islami

Berzikir- tingkatan zikir; paling rendah, berzikir dengan lidah, kemudian zikir dengan hati dan paling tinggi ialah berzikir dengan hati dan lidah. Berzikirlah pada setiap waktu,kondisi dan tempat (kecuali tempat dilarang)Tingkatkan zikir dari hari ke hari dari segi kuantiti dan kualiti.


SARANAN KELIMA: MEMPERHATI ASPEK AKHLAK

Hadis Rasulullah s.a.w; " Tidak ada satu yang lebih berat di timbangan hamba Mukmin pada hari kiamat selain akhlak yang baik. Dan, Allah benci orang yang berkata jorok dan kotor" (diriwayatkan at-timidzi dan berkata hadis ini hasan sahih)

Ibnu al-Qayyim rahimahullah berkata," Agama itu akhlak. Barangsiapa meningkatkan akhlaknya, bererti dia meningkatkan agamanya".

Bersihkan hati dari akhlak tercela dan tingkatkan kualiti akhlak sesama manusia, dan tingkatkan ketaqwaan kepada Allah ta'ala. Bergaullah dengan orang-orang berakhlak mulia.

Teringat pesan seorang sahabat," Erti hidup pada bertuhan". Ertinya, apabila seseorang itu yakin akan Tuhan dan rasa dirinya sering diperhatikan (ihsan), nescaya akan terpamer akhlak-akhlak yang baik dari dalam dirinya.


SARANAN KEENAM: TERLIBAT DALAM AKTIVITI DAKWAH

Mungkin ada yang tidak menyedari bahawa surah Al-Asr membawa maksud yang sangat besar dalam kehidupan seorang Muslim, jika tidak, hidupnya hanya dalam kerugian.

Pertama, jadi orang beriman; kedua, beramal soleh; ketiga, berpesan dengan kebenaran dan keempat, berpesan dengan kesabaran.

Ketahuilah bahawa jika seseorang mempunyai hanya dua sifat terawal, dia masih di dalam kerugian. Sifat ketiga dan keempat hanya boleh dilaksanakan pabila melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah dan bertemu dengan masyarakat di luar sana.

Orang Muslim perlu mentarbiyah diri untuk melibatkan diri dalam aktiviti dakwah kerana amar ma'ruf nahi mungkar adalah wajib dan tiada alasan dan pilihan selain mengerjakannya. Gunakan setiap ruang dan peluang untuk menunaikan kewajipan ini.


SARANAN KETUJUH: MUJAHADAH (JIHAD)

Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.

Bekal kepada mujahadah adalah sabar,bersungguh-sungguh, bertahap dan terus menerus. Orang Muslim mesti sedaya upaya menguasai diri supaya nafsu dan syaitan tunduk dalam perlawanan ini.
Ada yang bertanya," kalau bermujahadah, siapa yang dapat manfaat?" Sudah tentu diri sendiri akan bersenang lenang dalam kemenangan berupa pahala yang melimpah dan timbangan amal yang banyak.


SARANAN KELAPAN: BERDOA DENGAN JUJUR KEPADA ALLAH S.W.T

Ini adalah saranan yang sangat penting dalam Tarbiyah Dzatiyah iaitu pertolongan dan bimbingan dari pencipta diri; ALLAH s.w.t. Mana mungkin diri akan terus kuat dan bersemangat untuk menolak perkara-perkara yang disukai dan memerlukan iltizam yang tinggi untuk konsisten mentarbiyah diri.

"Doa adalah senjata mukmin"

" Dan Tuhan kalian berfirman, berdoalah kepadaKu, nescaya Aku kabulkan doa kalian" (Surah Ghafir: 60)

"Iman pasti lusuh di hati salah seorang dari kalian, sebagaimana pakaian itu lusuh. Kerana itu, mintalah Allah memperbaharui iman di hati kalian" (Diriwayatkan Ath-thabrani dan sanadnya Hasan)

Berdoa dan terus berdoalah di saat gembira, sedih, terluka, tenang, marah dan dalam apa jua kondisi. Kita hanya insan yang lemah yang sangat-sangat memerlukan pergantungan yang utuh dengan Tuhan.

Moga-moga Allah taala meredhai amalan kita, memberkati masa dan waktu kita, memberi ketenangan, kebahagiaan, kejayaan dalam hidup. In sya Allah.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi s.a.w, ahlul bait dan sahabat baginda s.a.w.

Oleh: Afifah Binti Mat Asin

No comments: