Showing posts with label Laporan Usrah. Show all posts
Showing posts with label Laporan Usrah. Show all posts

Emosi- anugerah indah

    Bismillahirrahmanirrahim
    "Bila kita kenal diri, maka kita kenal Pencipta"
    Kenapa??
    Kerana kita dariNya. Mengikut psikologi Islam, manusia terdiri dari empat unsur; akal, hati/nafsu,jasad dan roh. Antara empat unsur ini,
    Siapakah raja? - Roh.
    Tentera? - Nafsu
    Bendahara? - Jasad
    Perdana menteri? - Akal
    Raja memberi arahan, tentera mengikut arahan, perdana menteri pula menasihati. Jika tentera memberontak atau melakukan suatu perkara yang tidak selari dengan arahan,maka raja bertugas untuk terus berhubung dengan raja segala raja. Siapakah dia? Pastinya Allah Taala. Perhubungan secara langsung ini sebenarnya adalah satu nikmat yang tidak terhingga kepada manusia bergelar Muslim. Apabila seorang manusia itu berakhlak mulia, maka Allah mengatakan,"Aku sayang akan si fulan". Lalu, malaikat mendengar perkara tersebut dan berkata-kata antara satu sama lain, kemudian menyampaikan nya kepada alam-daun, pokok, haiwan dan sebagainya. Akhirnya, jika raja segala raja menyayangi si fulan, apakan tidak alam. Maka, seluruh alam menyayanginya. Oh indahnya.
    Psikologi Barat pula mengatakan, manusia terdiri dari dua unsur; jasad dan roh. Tapi mereka tidak mempercayai akan perhubungan secara langsung antara roh dan tuhan. Mereka percaya dunia ini adalah setakat ini sahaja tanpa adanya akhirat, maka mereka berusaha habis-habisan di atas dunia ini tanpa sekatan. Perikemanusiaan hilang, diktator menguasai.
    Setelah kita mengenali diri, maka, saya ingin berkongsi tentang dapatan dalam usrah semalam. Emosi manusia ada positif dan negatif. Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik  dalam mengawal emosi yang dianugerahkan Allah Taala ini.
    MARAH - Emosi negatif. Keadaan marah yang paling bagus dan terpuji ialah lambat marah dan lekas hilang. Jika kita marah, seeloknya kita menukar posisi badan, contohnya dari berdiri kepada duduk, duduk kepada baring. Selain itu, jika marah sudah tahap berapi, maka ambillah wudhu' untuk memadamkannya.
    Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
    (Riwayat al-Bukhari)
    Sabda Nabi pada hadis yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam”. Cuba kita lihat bagaimana jika seseorang dalam keadaan marah. Kedua-dua matanya merah dan urat lehernya akan kelihatan timbul. Rasulullah pernah menerangkan: “Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila marah oleh seseorang kamu maka hendaklah ia berwudhuk”.
    Abu Dzar al-Ghifari berkata: Rasulullah pernah berkata kepada kami: ”Apabila marah seorang kamu yang sedang berdiri maka hendaklah ia duduk supaya hilang kemarahannya. Kalau masih belum juga hilang maka hendaklah ia berbaring”.
    Wallahu A’lam
    (sumber Hadith 40 , Mustafa Abdul Rahman)
    SEDIH - Rasulullah s.a.w mengalami tahun kesedihan apabila bapa saudaranya meninggal (Abi Talib) diikuti dengan isteri tercinta (Siti Khadijah). Untuk menghiburkan hati yang lara, Allah s.w.t menghiburkannya dengan menjemput Rasulullah bertemu dengannya di Sidratul Muntaha pada malam Isra' dan Mikraj. Lalu, baginda menerima hadiah yang sangat hebat dan dinikmati oleh seluruh  umat manusia iaitu, solat. Solat adalah tiang agama dan solat adalah penghibur hati.
    PENAT - Diceritakan pada suatu hari, Fatimah, anak kesayangan Rasulullah s.a.w mengadu kepadanya tentang kerja-kerja rumah yang sangat memenatkan dan dia meminta seorang khadam. Lalu Rasulullah  s.a.w menghadiahkannya zikir Fatimah - Subhanallah (33x), Alhamdulillah(33x), Allahu Akbar(33x). [rujuk sahih bukhari]
    Lagi, dalam konteks kita, gerakan aktivis, program datang tanpa henti, sehinggakan sampai satu masa kita rasa sangat penat. Muhasabah semula diri, apa sebab kita melakukan semua itu? Adakah kita berlebih-lebihan? Diriwayatkan daripada Aisyah r.a :” Ketika saya sedang duduk dengan seorang perempuan, datang rasulullah SAW dan bertanya kepada ku :”Siapa dia?” Aku menjawab :” Si fulanah” dan aku ceritakan kepada nabi SAW bahawa dia beribadah dengan berlebihan. Nabi SAW bersabda dengan memperlihatkan tanda tidak bersetujunya. “Perbuatan baik yang dilakukan secara berlebihan tidak akan membuat Allah letih (untuk memberi pahala) namun engkaulah yang akan letih dan ad-din (perbuatan baik-ibadah yang paling dicintai Allah SWT) adalah yang dikerjakan secara tetap.” (al-Bukhari)
    Maka, bersederhanalah kita. Bagaimana? Pembahagian tugas dalam gerakan, tanya khabar kawan, bantu mereka.(sekadar menulis beberapa perkara).
    TIDAK MENYUKAI SESUATU - Apabila Rasulullah tidak menyukai suatu makanan, Baginda diam. Baginda tidak mencela atau menghina. Kita juga harus begitu. Jika makan terlebih masin atau terkurang gula, diamkan sahaja kerana jika kita mengungkit, kemungkinan kita mengaibkan orang yang bersusah payah menyiapkan makanan untuk kita.
    Ingatlah, emosi itu indah. Wanita selalu dikaitkan dengan 'keindahan' itu.
    "eii, perempuan ni emo r"
    "sikit-sikit merajuk, sikit-sikit marah"
    " orang cakap sikit, dia nak lebih-lebih pula"
    " terima kasih, sebab awak faham apa saya rasa"
    "terima kasih, apa yang awak cakap menyentuh hati saya"
    Oleh itu, wahai sebaik-baik perhiasan dunia, gunakanlah emosi dengan sebaiknya untuk mengimarahkan dunia. :)
    Lagi perkongsian, jika kita memasuki suatu program atau majlis, amalkan doa ini, moga-moga kita saling menyayangi.
    "ya Allah, kurniakan kecintaanku kepada orang-orang yang beriman dan kurniakan kecintaan orang-orang beriman kepadaku.amiin."
    Lagi perkongsian, bagaimana kita ingin menjadikan dunia ini gembira dan bahagia?
    Lemparkan senyuman :) dan sampaikanlah salam (assalamualaikum).
    Sebelum menutup tirai, sila jawab soalan di bawah.
  1.  Burung apa? Murai.(lakukannya bersama kawan sebanyak 10 kali)
  2. (jika anda tinggikan suara, maka..:))
  3. Lihat pelangi, apa rasa?
  4. Lihat sampah, apa rasa?
    Lihat muka mak abah, apa rasa?
    (jika anda dapat rasa sesuatu, maka, TAHNIAH! Anda seorang manusia.:)
    Wallahua'alam.
    Sumber: perkongsian dari usrah perindu (28/10/2011)

Halaqah Generasi 5 : Belajar Daripada Alam


Kehadiran
: Aimee, Afifah Mat Asin, Sakinah, Al 'Aina, Kak Siti, Afifah Jamaludin, Ashima.

Assalamua'laikum wbt.

Setiap alam itu bawa makna, kerana tiada satu pun perkara di dunia ini yang dijadikan sia-sia. Semuanya untuk dimanfaatkan manusia, sama ada untuk diguna secara terus atau diambil pengajaran dari sifatnya atau.... atau apa sahaja yang dikatakan manfaat/kebaikan.

Apa yang dapat dipelajari dari angsa?

Cuba lihat angsa...Boleh dimakan (kan?). Siapa mahu makan, silakan. Tapi bagaimana dengan orang yang tak makan angsa? Adakah angsa itu tidak bawa kebaikan/manfaat kepadanya? TIDAK....., ada manfaatnya tetapi hanya bagi mereka yang mahu berfikir, memahami dan melakukan. Alhamdulillah. Berhasil menjumpai satu video yang memberitahu tentang apa yang boleh kita pelajari dari angsa. Lihat dan tafsirkan sendiri apa yang kamu boleh pelajari dari angsa.




Alam lain lebih mulia ?

Alam lain mungkin lebih mulia dari kita kerana tidak pernah mengingkari perintah Tuhan. Tatkala kita lupakan Tuhan, sedangkan kita telah dijadikan makhluk terbaik, alam lain lebih mulia dari kita. Walaupun tidak diberi pilihan untuk menjadi yang makhluk terbaik, alam lain redha dan terus patuh malah bertasbih memuji Allah. Manusia? Banyak yang perlu kita manusia belajar dari sifat patuh dan redha makhluk Allah yang lain.

"Apa yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Perkasa, Mahabijaksana." (al-Hasyr,59:1).

"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sungguh, Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (al-Isra', 17:44)

Cinta pun bertasbih tau.

Alam bukan guru kita.

Alam bukan guru kita. Alam adalah bahan yang Maha Guru kita, Allah gunakan untuk mendidik kita. Alam seumpama satu tayangan video untuk memberitahu kita, tentang DIA dan tentang kehidupan. Alam ialah bahan yang membawa kita lebih mengenal-Nya, yang mencipta dan mengatur perjalanan kehidupan alam semesta.

Allah berkomunikasi dengan kita SETIAP MASA melalui alam-Nya. Tapi kadang-kadang kita terlepas pandang kerana tidak memikirkan. Kita sangka ia hanya untuk sedap mata memandang, tetapi sebenarnya ia lebih dari itu. Allah 'bercakap' dengan kita! Dan kita, sering membiarkan Allah 'bercakap sendirian'.

Allah mengajar kita nilai kerajinan dan kesungguhan dari semut yang selalu dimarahi kerana 'berkongsi' makanan manis dengan kita. Allah mengajar kita tentang kesetiaan melalui anjing yang selalu dipandang kotor dan dihina. Allah mengajar tentang kasih sayang melalui buaya yang ganas (juga melalui kucing bak cerita Al 'Aina).

Cuba lihat alam. Di mana lagi Allah selitkan nilai kerajinan, kesungguhan, kesetiaan, dan kasih sayang? Lihat dan fikirkan lagi, di mana Allah titipkan nilai kesopanan, kesederhanaan, kepatuhan, kejujuran, kebijaksanaan, keyakinan dan lain-lain.

Alam, Allah jadikan untuk kita. Manfaatkannya, jangan sia-siakan apatah lagi memusnahkan. Jagalah alam untuk kepentingan semua.

Cukuplah setakat ini. Terima kasih semua atas perkongsian bermakna.

Kita alam juga,
Nurul Afifah Jamaludin.

TEKA-TEKI: Alam apa yang paling 'friendly'?

Halaqah Generasi 4 : Hatiku Jiwaku


ASSALAMUALAIKUM
Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG
pa khabo shbt semua....?sunyi je teratak kite ni...


kali ni usrah kite bertajuk hatiku jiwaku...saye rujuk buku GIZI HATI by DR AHMAD FARID.


mengikut beliau, hati ni terbahagi kepada 3:


HATI YANG SIHAT
hati yang slamat dari nafsu yang bertentangan dgn perintah dan larangan Allah dan juga slamat dari syubhat(kesamaran) yang bertentangan dgn perintah Allah. hati ini buat sgalanya ikhlas kernaNya yang paling penting bukan kerna nafsunya.

kalau dia marah, dia marah kerana Allah dan bukan nafsunyer. contohnyer dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim,ada umat islam wat demonstrasi sbgai bantahan dan ada pulak yang membakar gereja...ha,yang bakar gereja tu knapa??itu membuat kan orang lain pandang serong kat Islam...marah kene dsalurkan dgn cara yang betul...jgn ikut hati...jangan marah ikut nafsu.dulu2,saidina ali nak bunuh orang kapiq dalam satu peperangan, tapi dia stop kerna org tu ludah mukanya...dia xnak bunuh orang tu kerna geram org tu ludah mukanya.dia xnak bunuh kerna nafsu amarahnya...

geng,begitulah juga dengan sayang,benci,memberi,x memberi semuanya kerna Allah bukan kerna nafsunya.hati yang sihat ni juga x tunduk n berhukum
kepada setiap yang memusuhi Rasulnya.hati ini terikat kuat untuk mengikuti Allah semata, dan x mengikuti seseorang kerna takot ka,nak bodek ka dan atas sebab2 lain yang hati anda sendiri tau....^_+


Hati yang mati
hati yang dlamnya xda khidupan.(:0)
gane???hati ini brjalan bersama syahwat dan kesenangan,meskipun dia tau Allah marah n x suka...slagi hati dia senang,dia x kisah Allah ridha atau murka.hati ni lau marah ka,suka ka kerna nafsunya.nafsunya lebih berpengaruh dari memikirkan keredhaan Allah. hawa nafsu membuatnya tuli n buta.bergaul dgn mereka ni adalah penyakit,racun dan kbinasaan.


hati yang sakit
hati yang ni pulak,hati yang kadang2 baik,kadang2 x baik. dia ada rasa cinta pada Allah dan ikhlas namun dia juga x dapat nak lawan nafsunya.kalu hatinya condong

pada kebaikan,sihat la hatinya.lau nafsu jahat nye yang menang maka condongla atinya kpada kmaksiatan.

dan macam2 lagi kami bncangkan...stakat ni saje la dulu deh...
WAALLAHU 'ALAM.


tarikh:29/10/2010
tempat: musolla maimunah 3
pembentang:qnah
kehadiran: qnah,ina,iba,ana,k.thra,aisyah sajuni,hakimah,hasyima

Halaqah Generasi5 - 4 : Rasulullah sebagai murabbi

Bismillahirahmanirahim.........

Syukur atas nikmat yang telah dikurniakan yang tidak putus-putus kunjungnya. Nikmat terbesar adalah Islam itu sendiri sebagai penggubah masyarakat. Tanggal 12 Rabiuawal menyaksikan kelahiran junjungan besar Muhammad Ibn Abdullah ke dunia sebagai menyambung risalah di muka bumi ini. Kelahirannya bererti membawa dunia kepada cahaya. Keluar daripada kegelapan jahiliah. Masyarakat menyambutnya dan meraikannya dengan kegembiraan. Bahkan, Abu Jahal, bapa saudara yang juga penentang terkuatnya sanggup berkorban sempena kelahirannya.

Namun, keriangan itu hanya sementara apabila risalah baginda bermula. Perjalanan yang baginda lalui sangat sukar telah menjadi tarbiah buat baginda untuk menempuh perjuangan yang lebih mencabar. Kehilangan orang tua tersayang dia awal kanak-kanaknya mendidik baginda erti sabar dan berdikari. Baginda dilatih untuk mengembala supaya nilai kesungguhan dan sabar dapat digilap dalam diri baginda. Apabila remaja, sikap baginda semakin terserlah dalam bidang perniagaan. Jujur, amanah dan disenangi ramai menjadikan beginda seorang usahawan yang berjaya. Allah itu lebih baik perancangNya. Firman Allah Taala, " Wahai manusia! Bertakwalah kamu kepada Tuhan yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan Allah menciptakan pasangannya dari dirinya. Dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak". (4:1). Baginda di lamar kerana akhlak yang terpuji. Kehidupan berumah tangga tidak melekakan baginda untuk meninggalkan dakwah. Walaupun sibuk berdakwah, baginda tidak pernah menggabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga ayah. Anak-anak diasuh untuk mengenali Islam dan dididik untuk menjadi srikandi Islam. Ketika di rumah, baginda rajin membantu isteri memasak, menjahit pakaian dan sebagainya. Malahan, baginda sentiasa adil ketika bergilir di rumah isteri-isterinya.

Ketika berusia 40 tahun, baginda diangkat menjadi rasul. Keyakinan membawa baginda untuk meneruskan risalah Illahi. Walau dicerca, di hina, dilempar dengan najis baginda tidak pernah berputus asa. Baginda tahu bahawa syurga itu pasti dan akhirat negeri abadi. Walau di baling dengan batu oleh penduduk Thaif, Baginda masih mengampuni ummatnya kerana mengharapkan ada di antara keturunan kaum itu yang akan memeluk Islam. Keperibadiannya dalam mengangkat martabat manusia membuatkan ramai hamba mengucapkan kalimah syahadah. kaum wanita yang lemah turut serta kerana Islam telah mengangkat tinggi martabat mereka. Ajaran baginda semakin tersebar luas. Persaudaraan Aus dan Khazraj memberi peluang kepada Islam untuk terus berkembang. Baginda beraksi di medan perang dengan bantuan Allah untuk mengalahkan musuh-musuh Islam. Sifat baginda yang pemaaf jelas tergambar ketika kemenangan Islam. Musuh-musuh yang ditangkap dibebaskan sehinggakan ada di antara pembesar daripada kalangan mereka memeluk Islam.

Rasulullah adalah murabbi terbaik untuk di contohi. Murabbi bererti pendidik. Keperibadian baginda boleh dijadikan contoh terbaik buat kita masa kini. Rasulullah telah meninggalkan kita lama dahulu namun, segala akhlaknya jelas dibukukan dalam al-Quran. Aisyah Radiallahuanha pernah berkata, mafhumnya, akhlak Rasulullah adalah al-Quran. Segala peribadi baginda mampu mendidik diri kita kerana baginda adalah pendidik terbaik. Seharusnya, kita terus memperjuangkan apa yang baginda tinggalkan untuk menjajdi rantai-rantai penyambung perjuangannya. Dakwah baginda tidak akan terhenti jika ada yang sedar akan tugas mereka sebagai khalifah di bumi ini. Firman Allah, " Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian menjadi penolong kepada sebahagian yang lain, menyeru kepada makruf dan mencegah kepada mungkar" (9:71).

Baginda punya teladan untuk diikuti, baginda punya perjuangan yang harus di sambung, baginda punya ummat yang amat dicintai, baginda punya jejak untuk dituruti, baginda punya Allah yang sentiasa di sisi.

Di saat akhirnya, nama kita masih di bibirnya mengajar kita untuk mencintai baginda dan ingat padanya selalu. Wallahualam....

Teguran dan pandangan amat di harapkan,

Che farhana............

Halaqah Generasi5 - 3: Penghuni Syurga Dan Neraka

Assalamualaikum wbt...

"Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga telah meninjau neraka dan aku dapati kebanykan penghuninya ialah kaum wanita."- diriwayatakan al-Bukhari

Rasullullah s.a.w telah diperlihatkan gambaran syurga dan neraka, dan begitulah baginda mendeskripsikan syurga dan neraka serta penghuninya. Tentu timbul kemusyiklan antara kita, apakah islam memandang kemiskinan itu sabagai satu kelebihan sehinggakan mereka dijamin syurga dan apakah diskriminasi terhadap wanita juga dibawa dalam islam sehinggakan mereka menjadi penghuni neraka yang utama?

Menurut islam, kekayaan perupakan nikmat dan rahmat yang dikurnia Allah s.w.t kepada manusia, tetapi kekayaan itu sendiri bukanlah merupakan satu kelebihan kecuali ia dibelanjakan di jalan Allah. Sedangkan kemiskinan pula merupakan ujian dan cabaran terhadapn ketabahan dan kesabaran seseorang mukmin, oleh itu kemiskinan itu sendiri bukan merupakan kelebihan yang melayakkan seseorang untuk menduduki syurga, tetapi ia mestilah dihadapi dengan sikap sabar, taqwa dan amalan-amalan yang soleh. Yang dimaksudkan oleh Rasullullah s.a.w bukanlah orang miskin semata-mata, kerana kemiskinan boleh dianggap bala oleh seseorang dan sekiranya dia tidak bersabar, ia mungkin akan membuatnya berkecil hati dan jauh hati daripada Allah s.w.t, sejurus menjerumuskannya ke lembah kekufuran. Ia juga boleh mencetuskan perasaan hasad dengki dan dendam terhadap manusia di sekeliling yang lebih bernasib baik daripadanya, dan akibatnya dia mungkin terlibat dalam perlakuan jenayah untuk melepaskan rasa dendamnya.

Rasullullah bersabda, "Kemiskinan itu hampir-hampir membawa seseorang itu kepada kekufuran."

Maka tidaklah wajar seseorang itu menggunakan hadith tersebut sebagai alasan untuk tidak berusaha mamajukan diri dan mencari kesenangan hidup di dunia. Di dalam al-Qur'an tegas menyakan bahawa syurga itu dicapai dengan ketaqwaan dan amalan- amalan dan bukanlah semata-mata kerana kemiskinan.

Firman Allah s.w.t:" Itulah syurga yang Kami warisi dengan kelebihan amaln-amalan kamu,"
Firman Allh lagi:" Itulah syurga yang Kami warisikannya kepada orang-orang yang bertaqwa di antara hamba-hamba Kami."

Bagaimana pula dengan neraka yang kebanyakkan daripadanya terdiri daripada golongan wanita?

Wanita dan lelaki sama di sisi Allah, tiada diskriminasi pahala dan dosa berlandaskan jantina. salah satu punca wanita menjadi penghuni neraka paling ramai adalah kerana jumlah kaum wanita di dunia jauh melebihi kaum lelaki, dan jumlah manusia yang kafir di sepanjang zaman adalah lebih ramai orang mukmin. Dan punca yang utama ialah pada realitinya banyak penyelewengan dan penyalahgunaan pengaruh dan sifat-sifat kewanitaan yang akibatnya menyebabkan kaum lelaki terjerumus dalam perangkap kemaksiatan, kefasiqan dan jenayah. Al-Qur'an sendiri telah meletakkan kaum wanita sebagai yang terutamanya menjadi nafsu manusia.

FirmanNya:" Telah dijadikan kesukaan pada manusia menyintai pelbagai nafsu keinginan iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas, sawah, ladang. Itulah kenikmatan hidup di dunia, sedangkan di sisi Allah pula terdapat syurga tempat kembali yang amat indah."

Amatlah mudah bagi seorang wanita untuk menjadi fitnah bagi seorang lelaki. Hanya sedikit kecuaian dalam menjaga maruah mereka, mampu meruntuhkan akhlak sesuatu kaum itu. Mungkin itulah sebabnya kebanyakkan wanita menjadi penghuni neraka, bukan sahaja menjadi ancaman diri sendiri, wanita sebagai perhiasan dunia juga boleh membinasakan kaum lelaki.

Maka, kita sebagai kaum wanita perlulah peka tentang kewajipan kita untuk menjaga maruah dan pandangan agar tidak mendatangkan pengaruh negatif. Dan sebagai mukmin sejati, kita perlukan berusaha mencari rezeki dan memajukan hidup siri serta membelanjakan harta kita di jalan Allah, agar dapat kita menjawab persoalan di akhirat nanti.

wallahualam

Oleh,
Hasna Heng bt Kamal Koh

Halaqah Generasi5 - 2 : Cinta Rasulullah

Cinta ALLAH cinta hakiki,cinta Rasulullah cinta abadi,
cinta kita??


28hb 12 2009(Selasa)

Alhamdulillah,kita diberi nikmat lapang dan diberi peluang sekali lagi oleh pencipta kita,ALLAH s.w.t bertemu untuk sama-sama mengkoreksi diri dan saling berkongsi pengetahuan dan ilmu yang ada.
Alhamdulillah..
Pada minggu terakhir sebelum menjelang tahun baru ini,kita telah menyentuh topik yang sangat menarik dan membawa ikhtibar,panduan pedoman untuk kita semua,iaitu CINTA RASULULLAH.

Pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah, lahirlah seorang putera dari Bani Hashim,ibunya bernama Aminah,ayahnya pula bernama Abdullah.Putera ini diberi nama yang sangat unik yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana bayi hatta tidak pernah didengari oleh kaum Arab.Nama putera tersebut ialah Muhammad (saw).

Sahabat-sahabat, mari kita tinjau beberapa peristiwa yang sebelum kelahiran seorang hamba ALLAH yang akhlaknya bagaikan Al-Quran,sebagai rahmatan lil-alamin dan pemula kebangkitan Islam.

1) Padamnya api di biara Majusi yang besarnya dikatakan sebesar bukit dan tidak pernah padam
2) Runtuhnya istana Kisra Parsi
3) Cahaya putih menerangi Mekah (dikatakan peristiwa ini berlaku dalam mimpi Aminah dan cahaya tersebut terbit dari farajnya)
4) Tentera bergajah Abrahah ingin meruntuhkan Kaabah tapi malangnya dikalahkan oleh tentera ALLAH,burung ababil dan batu kecil dari neraka

Betapa dunia mengalu-alukan kekasih ALLAH yang mulia ini. Subhanallah..
Mari kita kenali pula anak-anak Rasulullah saw.Qasim,Abdullah,Ibrahim,Zainab,Ruqayyah,Umi Kalsom dan Fatimah.Anak-anak lelaki Rasulullah semuanya meninggal dunia ketika masih kecil.Sebenarnya perkara ini sangat menyedihkan Khadijah tetapi perancangan dan ketentuan ALLAH sangat hebat.Zainab mengahwini sahabat Rasulullah saw,Uthman bin Affan.Fatimah pula berkahwin dengan Ali bin Abi Talib……

(p/s: ana tolong tambah mane yang kurang ;))

Untuk pengetahuan sahabat,Rasulullah saw hanya mengerjakan haji sekali sahaja seumur hidupnya(Haji Wida’) , umrah sebanyak 4 kali dan mengetuai peperangan sebanyak 25 daripada 27 peperangan.
Semua di atas hanya mukaddimah..huhu.Sekarang,kita lihat kecintaan Rasulullah kepada kita,umatnya.

Cerita 1

Ketika Rasulullah saw dalam kesakitan dan hampir masuk ke ambang nazak,baginda bertanya kepada Jibril,”Hai Jibril, aku ingin mengetahui apakah hakku selepas aku wafat?” Maka, Jibril menjawab “Wahai kekasih ALLAH,langit sudak terbuka menunngu rohmu,malaikat sudah berbaris menyambut kadatangan rohmu,…..”.Rasulullah bertanya lagi,”Hai Jibril,apakah pula hak umatku?” Jibril menjawab,”Telah diharamkan kepada sesiapa untuk masuk ke syurga ALLAH melainkan umatmu memasukinya dahulu hingga orang terakhir.”.Ya ALLAH,sungguh mulia hati Nabi kami.Tidak pernah melupakan kami walau berada dalm kesusahan dan kesakitan..

Cerita 2

Ada seorang pengemis Yahudi yang buta selalu mengutuk dan menghina Rasulullah saw.Pengemis ini setiap hari akan didatangi oleh seseorang menyuapnya makan dan sentiasa mendengar celotehnya yang merendah-rendahkan Rasulullah saw.Setelah Rasulullah wafat, Sayidina Abu Bakar bertanya kepada Aisyah apakah perkara yang Rasulullah saw sentiasa lakukan semasa baginda hidup.Maka,Aisyah bercerita tentang Rasulullah saw dan pengemis itu. Oleh itu pada kemudian hari, Sayidina Abu Bakar mendatangi pengemis tersebut dan menyuapnya makan. Seperti biasa,pengemis menghina Rasulullah saw.Tiba-tiba,pengemis mencemuh dan mengherdik Sayidina Abu Bakar. “Siapa kamu?Kamu bukan orang yang selalu meyuap aku.Kalau orang sebelum ini,dia mengecilkan kepalan makanan dan menghancurkannya supaya aku senang makan dan menelan”.Tiba-tiba,Sayidina Abu Bakar menangis teresak-esak dan beliau berkata,”sebenarnya,orang yang kau selalu kutuk,hina itulah yang setiap hari menyuap engkau makan.Dia adalah baginda Rasulllah saw.Tetapi, baginda telah wafat.” Pengemis tersebut terkejut lantas dia pun megucap kalimah syahadah.

Lihatlah betapa penyabarnya Nabi kita terhadap orang-orang yang menentang baginda.Sahabat, kita tidak pernah diuji begini pun terlalu fobia dengan kritikan dan kata-kata sinis.Bila difikir-fikirkan,bila kita akan maju jika kata-kata orang mematahkan semangat kita.Kan??

Justeru sahabat, mari kita mengenali peribadi Rasulullah saw moga-moga kita boleh mengikutinya. Seperti Kinah beritahu, ‘KALAU TAK DAPAT SEMUA,JANGAN TINGGAL SEMUA’.

1) Membenci kemegahan,perhiasan yang cantik
2) Makan setelah lapar dan berhenti sebelum kenyang
3) Memelihara rambut dengan kemas
4) Selalu membalas hadiah
5) Ketika bersua,baginda salam dan peluk sahabat
6) Tidak menatap dan merenung wajah orang lain lama-lama
7) Tidak menjulurkan kaki depan para sahabat
8) Suka bercakap lambat tapi jelas
9) Sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya
10) Tidak ketawa terbahak-bahak,sentiasa tersenyum lembut
11) Manis dalam tutur bicara
12) Bergaul dengan orang miskin,tidak rasa hina
13) Mengambil wudu’ sebelum tidur dan berzikir sehingga lena

Wah,sebenarnya kita senang-senang je boleh dapat pahala percuma kan??.Peribadi Rasulullah sebenarnya sangat mudah diikuti tapi malangnya kenapa sangat susah untuk diamalkan?..Renung-renungkan.(bagi eifa,sebab emosi dan nafsu menjadi raja dalam diri)
Sahabat,sampai di sini sahaja dulu ea. Kita bertemu di episode akan datang dengan topic-topik yang menenangkan hati dan membakar semangat perjuangan.Amin…

(p/s:Eifa amat mengharapkan kritikan membina dari sahabat sebab ini pertama kali tulis dalam blog.huhu..tolong perbetulkan mane yang kurang)

Salam sayang,
Afifah binti Mat Asin
Dr Homoeopathy..

Audiologist…
amiiiinnnn....;)

Halaqah Generasi5 - 1: Ukhuwwah

Tarikh : 5 Muharram 1431H / 22 Disember 2009
Tempat : Musolla Talhah 6
Masa : 6.30 petang hingga 9 malam.
Topik/ Isu : Ukhuwwah
Kehadiran : Ibah, Kak Ira, Ana, Fifah, Rokiah, Kak Sa, Hasna, Sakinah, Wan dan tidak ketinggalan, Al ‘Aina Yuhainis bt Firus Khan.


Indahnya hidup jika tidak keseorangan...Indahnya hidup jika berteman...Indahnya hidup jika saling mengingatkan...Indahnya hidup jika saling memerlukan dan memberi kebaikan.

Alhamdulillah, akhirnya kami berkesempatan juga untuk berkumpul dan berhalaqah buat kali pertama di bumi UIAM Kuantan dengan izin Allah jua.
Oklah, tak perlu muqaddimah panjang-panjang, saya masuk terus kepada isi perbincangan kami. Siraman kasih sayang (perkongsian ilmu atas kasih sayang) bermula sekitar 7.30 malam selepas bacaan ma’thurat berjamaah. Saya memulakan perbincangan dengan membacakan beberapa isi penting yang saya ambil dari artikel ustaz Hasrizal dalam saifulislam.com (agak bosan sebab saya cuma membaca...tak pasti la kawan-kawan faham ke tak..huhu..)
“Usrah bukanlah majlis ilmu, tetapi sebahagian daripada faedah usrah adalah ilmu. Ia juga bukan medan untuk isu-isu semasa, namun mengetahui perkembangan semasa adalah sebahagian daripada pencapaian usrah. Begitu juga dengan ukhuwwah, ia bukan agenda usrah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terhasilnya ukhuwwah. Usrah adalah medan yang mencantumkan ilmu, isu semasa dan ukhuwwah, untuk suatu agenda yang lebih besar iaitu membentuk syakhsiah Muslim. Menghasilkan manusia Muslim.” – Saifulislam.com
“Jika satu program itu dikatakan membentuk ukhuwwah dalam kalangan peserta, sepatutnya ia membawa maksud program ini telah membentuk peserta yang mampu berukhuwwah dengan sesiapa sahaja.” – pembaca Saifulislam.com

Dalam perhubungan seharian kita, tentu sahaja kita lebih mesra dengan kumpulan sendiri, faktor fikrah yang sama dan masa menjadi punca. Tetapi kemesraan itu sepatutnya mampu berkembang dan mendatangkan keupayaan untuk kita bergaul dan berhubung dengan orang lain. Tiada duo-personaliti: mesra dengan teman, hambar dengan kenalan!


Antara perkara yang saya dapat dalam Kem Mahasiswa Muda (KMM ’09) ialah kepentingan personal touch, pendekatan dakwah yang dipinggirkan. Rasulullah saw dalam berdakwah tidak terhad kepada ceramah, usrah tetapi juga menggunakan personal touch ini di samping akhlaq baginda yang mulia. Hasilnya, ramai sahabat-sahabat yang berpengaruh memeluk Islam dan mengembangkan lagi Islam ke serata dunia.




Maaflah, saya tak pandai pulak nak kupas semula usrah kat sini. Jadi, kita terus kepada resolusi usrah yang saya dapat ya.

RESOLUSI:

1. Jangan menghilangkan diri, mengasingkan diri kerana kita sudah jadi seperti satu keluarga. Bayangkan apabila kita kehilangan seorang adik/kakak, pasti kita akan rasa seperti kekurangan sesuatu.

2. Bila ada kawan-kawan, kita aka nada lebih semangat untuk bergerak. Ibarat lidi yang ‘sebatang’, lemah saja. Tetapi apabila dikumpul-kumpulkan menjadi penyapu lidi, dapatlah ia berfungsi menyapu dengan berkesannya.

3. Banyakkan memberi. What you give, you get back walaupun bukanlah dalam bentuk yang serupa. Biarpun kita tak dapat apa-apa di dunia ini, tetapi pasti ada balasannya di akhirat kelak, dengan syarat semuanya kerana Allah SWT. Berilah sebanyak mana kebaikan yang mampu diberikan biarpun sekadar senyuman. Senyuman itu menceriakan.

4. Kita bersatu atas aqidah yang sama, keimanan kepada Allah. Biar siapa pun dia, berinteraksilah, berkomunikasilah, kembangkanlah ukhuwwah islamiyyah atas dasar keimanan kepada Allah.

5. Perlu ada worldview atau pandangan yang tinggi terhadap usrah. Letakkan kepentingan dan keperluan terhadap usrah. Tanpa pandangan yang tinggi, kita pasti rasa lemah dan malas untuk menghadiri usrah. (Usrah itu ibarat nasi yang banyak lauk, sedap-sedap semua.)

6. Kita perlu muhasabah dan didik hati kita. Didik rasa hamba, buang rasa ego. Kita semua sama sahaja, yang membezakan hanya taqwa. Penilaian taqwa, biarlah Allah saja yang membuatnya.

7. Sebarkan salam dan senyuman kepada sesiapa sahaja (kecuali lelaki...ha jangan nak menggatal ye), biarpun kepada mak cik cleaner. Ingat, tanpa mereka, kita takkan mampu hidup dan belajar dengan selesa. Syukurlah, Allah hadirkan mereka untuk membantu kita.

8. Menyuburkan amalan ziarah-menziarahi.

Ok. Itu sahaja untuk kali ini. Semoga bertemu lagi.
Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah saw bersabda: “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya. Sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari Kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari Kiamat.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Yang membentang dan menaip,
Nurul Afifah bt Jamaludin.

Bacaan Tambahan:
Ukhuwwah Manusia Hamba - Saifulislam.com
Jumaat Menghadiahkan Ukhuwwah - Saifulislam.com
Mencintai Allah dan Kerana Allah

p/s: Minggu hadapan 12 Muharram 1431H/ 29 Disember 2009 di Musolla M2, 6.45pm dengan tajuk ‘Cinta Rasulullah’.

GALERI USRAH